Home PolitikBarisan Nasional Biar UMNO urus hal dalam parti, MIC tak payah panjang cerita

Biar UMNO urus hal dalam parti, MIC tak payah panjang cerita

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Jun – MIC dinasihatkan agar tidak mencampuri urusan dalaman UMNO dengan tampil memanjangkan cerita susulan kenyataan yang dibuat oleh bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat, Muhamad Iqbal Jamal Jamaludin berkata, tindakan Ketua Penerangan MIC, R. Thinalan yang menuntut Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat penjelasan mengenai pendedahan Tajuddin sebagai sia-sia kerana perkara itu sudah dijelaskan oleh Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Menurutnya, sebarang pertanyaan isu berbangkit sepatutnya boleh disuarakan terus kepada pimpinan Barisan Nasional (BN) tanpa melalui media.

“Mungkin MIC lupa semasa partinya ‘tersilap’ menyertai Perikatan Nasional (PN) UMNO tidak pernah meminta agar parti itu membuat penjelasan,

“Sebab itu saya keliru apabila Ketua Penerangan MIC tidak membaca kenyataan Ketua Penerangan UMNO agar tidak perlu mengadu domba. Ingin bertanya, boleh sahaja bertanya pemimpin BN tanpa membuat kenyataan media,”jelasnya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, MIC seharusnya melihat hasil kepimpinan Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN,  yang berjaya membawa kemenangan di dalam 7 Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang turut dirasai oleh MIC apabila turut memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri di Melaka serta Johor.

Tambahnya, BN sudah berada di ambang kemenangan dan masih berdiri utuh walaupun ditinggal oleh rakan-rakan komponen yang lain.

“Kita sudah berada di ambang kemenangan. Barisan Nasional masih berdiri utuh walau pun ditinggal oleh rakan-rakan komponen yang lain,

“MIC tidak perlu memberi komentar tentang hal dalaman UMNO. Biar UMNO menguruskannya. Jurucakap UMNO sudah pun bersuara. MIC tak perlu tampil memanjangkan cerita,

“Esok bila masuk PRU, MIC juga akan dibantu oleh jentera UMNO sepertimana kita membantu dalam PRN yang melihat kebangkitan semula MIC,” tegasnya.

Muhamad Iqbal turut menasihatai Thinalan agar usah jaga tepi kain orang dan lebih memberi fokus dalam perkukuhkan MIC bagi menghadapi PRU serta meyakinkan masyarakat India untuk kembali ke BN.

Sebelum ini, Thinalan dalam kenyataan menggesa agar tindakan sewajarnya diambil dengan kadar segera berhubung dakwaan terdapat pemimpin yang terlibat menandatangani Akuan Bersumpah (SD) untuk menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri pada 2020, seperti dilaporkan Ahli Parlimen Pasir Salak itu.

Tegasnya, sebarang kelewatan atau keengganan menangani isu berkenaan hanya akan memudaratkan BN.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!