Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Pencinta kleptokrat, kluster mahkamah UMNO tolak perpaduan dalam MN – Wan Saiful

Pencinta kleptokrat, kluster mahkamah UMNO tolak perpaduan dalam MN – Wan Saiful

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa pencinta kleptokrat dan pengikut kluster mahkamah dalam UMNO yang menghalang perpaduan Muafakat Nasional (MN).

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berhubung pendirian partinya yang menolak Bersatu daripada menyertai MN dan ia hanyalah sekadar helah serta alasan semata-mata.

“Kononnya marah sebab tertubuhnya Perikatan Nasional (PN) sehingga tak jadi bermuafakat. Padahal PN mula berfungsi sejak Februari 2020 dan didaftarkan pada 7 Ogos 2020. Surat jemputan masuk MN pula bertarikh 13 Ogos 2020,” katanya menerusi hantaran di lama Facebooknya pada Isnin.

Wan Saiful turut mempersoalkan sama ada pendirian UMNO itu merupakan satu keputusan bersama yang dibuat antara parti dalam gabungan berkenaan.

“Lengkap dengan alasan-alasan yang baru dicipta. Adakah ini pandangan rasmi Muafakat Nasional setelah dibawa bermesyuarat?

“Atau pencinta kleptokrat memandai-mandai cipta alasan tanpa bermesyuarat? Kluster mahkamah UMNO memang terkenal dengan perangai Abang Long yang mendominasi keputusan, berlagak seperti suara mereka adalah suara semua,

“Bila pula MN putuskan sedemikian, atau unilateral sahaja?” soalnya.

Dalam hantaran yang sama, Wan Saiful turut mengemukakan sepucuk surat yang ditujukan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan tajuk ‘Jemputan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Muafakat Nasional’.

Surat yang ditandatangani oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu turut mengalu-alukan Bersatu menyertai MN termasuk menjemput Muhyiddin bagi merealisasi harapan UMNO dan PAS di MN.

Mengulas lanjut, Wan Saiful menjelaskan, jemputan itu dihantar kepada Bersatu selepas PN ditubuhkan.

“Kalau betul tak setuju PN ditubuhkan, kenapa jemput masuk MN selepas PN tertubuh? Masa bos kamu Zahid Hamidi tandatangan surat jemputan, dia terlupa bahawa dia sepatutnya marah ke?

“Kalau nak cipta alasan bagi pihak bos kamu Zahid Hamidi sekali pun, periksa la tarikh itu dulu. Jangan senang sangat kantoi,

“Walau apa pun, ini bukti tuntas bahawa yang menjadi masalah dan menghalang perpaduan ialah pencinta kleptokrat dan pengikut kluster mahkamah. Jangan nak salahkan orang lain pula. Apa lagi alasan dan cerita yang nak direka-reka selepas ini?” tegas Wan Saiful lagi.

Pada 21 Jun lalu, Shahril dilaporkan berkata, sebab utama UMNO menolak kerjasama bersama Bersatu adalah kerana matlamat parti itu yang didapati berhasrat untuk mengantikan UMNO.

Jelasnya, perkara itu dapat dilihat menerusi tindakan yang diambil Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah apabila parti itu meletakkan calon di 17 Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk melawan calon Barisan Nasional (BN).-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply