Home Pertahanan dan Keselamatan Kapal tangki LPG ditahan, bersauh tanpa kebenaran

Kapal tangki LPG ditahan, bersauh tanpa kebenaran

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 27 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili telah menahan sebuah kapal tangki Liquefied Petroleum Gas (LPG) kerana bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 14.5 batu nautika timur laut Tanjung Penawar, petang semalam.

Pemangku Pengarah APMM Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, kapal tangki LPG yang berdaftar dari Monrovia itu ditahan pada jam 3.15 petang oleh bot ronda APMM semasa melaksanakan operasi rutin di perairan Johor Timur.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas dokumen kapal mendapati nakhoda telah gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.

“Hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut dikendalikan 16 kru lelaki termasuk nakhoda, terdiri daripada 8 warga Korea Selatan dan 8 warga Indonesia berumur di antara 21 hingga 52 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,

“Kapal seterusnya ditahan dan nakhoda beserta seorang kru telah dibawake pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut,

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya,” jelasnya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati pemilik atau pengusaha perkapalan agar sentiasa memastikan kapal-kapal di bawah seliaan mereka untuk mematuhi undang-undang dan peraturan di perairan negeri Johor. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply