KUALA LUMPUR, 17 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan bahawa bekalan tepung gandum dalam negara mencukupi dan tidak terjejas walaupun India melaksanakan tindakan pemberhentian mengeksport barang asas tersebut.
Jelas KPDHEP, Malaysia telah mengimport 80 peratus biji gandum dari Australia, Amerika Syarikat, Kanada dan Ukraine dalam menghadapi masalh tersebut.
“Bekalan tepung gandum negara tidak terkesan. Malaysia mengimport 80 peratus biji gandum dari Australia dan selebihnya dari AS, Kanada dan Ukraine,
“Justeru itu, larangan India mengeksport gandum susulan gelombang haba akibat cuaca panas terik tidak menjejaskan bekalan tepung gandum di negara,” kata kementerian itu menerusi hantaran di media sosialnya pada Selasa.
Tambah kementerian itu, seramai 2,200 anggota penguat kuasa KPDNHEP akan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan bekalan tepung bersubsidi dan tidak bersubsidi stabil di pasaran.
Pada Sabtu, India mengumumkan melarang eksport gandum berkuat kuasa serta-merta, ketika gelombang haba akibat cuaca panas terik menjejaskan hasil tanaman dan harga tempatan mencecah rekod paras tertinggi.
Susulan sekatan itu, harga global tepung gandum dilaporkan meningkat secara mendadak dengan harga penanda aras komoditi itu melonjak sebanyak 5.9 peratus di Chicago selain kenaikan turut dirasai di banyak lagi negara. -airtimes.my