Home PolitikBarisan Nasional UMNO, PAS dah tak tidur sebilik lagi, lafazkan cerai talak 3

UMNO, PAS dah tak tidur sebilik lagi, lafazkan cerai talak 3

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Mei – UMNO perlu mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung status terkini Muafakat Nasional (MN) yang ditubuhnya bersama PAS bagi mengelakkan salah paham dari akar umbi.

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, UMNO wajar menoktahkan hubungan bersama PAS dalam MN dengan mengeluarkan kenyataan rasmi untuk mengelakkan salah faham tentang kewujudan dan kedudukan MN.

“Maka Veteran UMNO menyarankan supaya Muafakat Nasional dimatikan dengan secara rasmi,

“Justeru itu Veteran UMNO mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengeluarkan kenyataan secara rasmi yang MN sudah mati dan telah berkubur,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Mustapha berkata demikian sebagai maklum balas Presiden UMNO yang menyifatkan tindakan PAS seperti talam dua muka berikutan tindakan dan keputusan parti itu tidak selari dengan apa yang diungkapkan.

Zahid menegaskan, UMNO tidak mahu sahabat yang tidak mempunyai pendirian tetap dalam setiap tindakan dan keputusan yang dilakukan.

Tambah Mustapha, pihaknya sedari dulu mahukan MN dibubarkan bagi mengelak ianya dipersendakan dan dipolemikkan.

“PAS yang dengan angkuh sombong meninggalkan Umno dalam MN telah memilih untuk bersama Bersatu dalam PN masih lagi menaruh harapan dan sering membangkit isu MN,

“Kenyataan Takiyuddin yang terbaharu jelas menunjukkan PAS mempermainkan MN,” tegasnya.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, pemahaman PAS berdasarkan Piagam MN dan penyatuan ummah bukan hanya terhad kepada parti tertentu saja, sebaliknya ia boleh disertai mana-mana parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang mempunyai matlamat sama iaitu ke arah penyatuan ummah.

Justeru, Takiyuddin berkata, PAS masih lagi menyeru supaya penyatuan ummah membabitkan semua pihak terutama parti Melayu Islam, parti Bumiputera dan parti bukan Melayu yang tidak ekstrem sebagaimana yang disebut oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Mengulas lanjut Mustapha menegaskan, Veteran UMNO mahu pucuk pimpinan parti memberhentikan sandiwara PAS ini dan dengan segera mematikan MN.

“Dengan cara itu juga ianya boleh menyelamatkann maruah PAS dari dituduh ‘gila talak’,

“UMNO dan PAS telah berpisah dalam MN. Tidur tidak sebilik lagi. Jadi jangan digantung tidak bertali. Lafazkan talak. Ceraikan talak 3,” kata Mustapha lagi.

Related Articles

Leave a Reply