KUALA LUMPUR, 2 Mei – Individu yang terlibat dalam kes helikopter mengambil nasi ganja di Ipoh pada tahun lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada 9 Mei ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Abdul Jalil Hassan dalam satu kenyataan berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah selesai menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut.
“Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri dan telah mendapat arahan untuk menuduh suspek di bawah Peraturan 77(2) Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016,
“Suspek akan dituduh pada 9 Mei ini di Mahkamah Majistret Ipoh,” katanya.
Menurutnya, suspek telah gagal mematuhi pelan penerbangan (Flight Plan) yang dikemukakan apabila telah membuat pendaratan pesawat di lokasi selain dari aerodrom yang dinyatakan dalam pelan.
Sekiranya disabitkan kesalahan, suspek akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.
Pada 23 Julai lalu, sebuah helikopter Bell 505 telah mendarat di Padang Ipoh untuk mengambil pesanan 36 pek nasi ganja yang dipesan untuk dibawa ke Kuala Lumpur.
Pendarat helikopter tersebut telah mencetuskan kontroversi di kalangan umum berikutan larangan rentas negeri masih dikuatkuasakan pada ketika itu. – airtimes.my