KYIV, 2 Mei – Tentera Udara Ukraine (Ukrainian Air Force, UAF) menegaskan Ghost of Kyiv yang diwar-warkan semasa peringkat awal peperangan dengan Rusia adalah tidak wujud.
Pihak UAF dalam satu kenyataan berkata, pihaknya meminta penyebaran berhubung mitos dihentikan sebagai langkah untuk mengekang penularan berita palsu.
“Ghost of Kyiv adalah legenda adi wira yang dicipta oleh rakyat Ukraine. Ianya sekadar imej kolektif para juruterbang dari 40th Brigade of Tactical Aviation of the Air Force yang bertanggungjawab untuk menjaga ruang udara ibu negara Ukraine,” katanya.
Desas-desus Ghost of Kyiv bertiup kencang dalam masa beberapa hari selepas Moskow melancarkan serangan besar-besaran terhadap Ukraine.

Tentera Udara Ukraine menegaskan kisah Ghost of Kyiv adalah sekadar mitos dan merupakan simbol kolektif sayap jet pejuang pasukan udara itu yang bertanggungjawab menjaga ruang udara ibu negara Ukraine.
Kisah adiwira tersebut telah dilaporkan oleh media seluruh dunia dan menjadi simbol penentangan Ukraine terhadap Rusia. Perkara ini turut dikongsikan dalam satu hantaran di akaun media sosial rasmi kerajaan Ukraine.
Selain daripada itu, juruterbang tersebut didakwa telah menembak jatuh 40 buah pesawat Tentera Udara Rusia.
Namun begitu, UAF telah menafikan salah seorang juruterbangnya yang terkorban pada Mac lalu sebagai watak sebenar Ghost of Kyiv.

Mejar Stepan Tarabalka , maut dalam satu pertempuran udara di Ukraine. Beliau disahkan bukan Ghost of Kyiv seperti mana yang digembar-gemburkan sebelum ini.
“Mejar Stepan Tarabalka bukanlah Ghost of Kyiv dan beliau tidak menembak jatuh 40 jet pejuang musuh,” katanya.
Tarabalka, 29 tahun merupakan juruterbang jet pejuang Ukraine yang terkorban dalam satu pertempuran udara pada 13 Mac lalu. Beliau telah dianugerahkan gelaran “Hero of Ukraine”, gelaran anugerahkan tertinggi di negara itu.
Dalam kenyataan yang sama, UAF menafikan juruterbang mereka telah mula diberikan latihan untuk mengendali jet pejuang F-16.
Selain daripada itu, Ukraine turut menolak dakwaan bahawa pesawat pengebom Amerika Syarikat telah melaksanakan operasi di ruang udara negara Eropah Timur itu. – airtimes.my