SANDAKAN, 4 Apr – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya mengusir sebuah bot yang dijuragani seorang lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Filipina ketika cuba menceroboh masuk ke perairan negara di Pulau Nunuyan, pada Ahad.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Sandakan, Deputi Superintenden Polis (DSP) Rusdin Banin berkata, anggotanya telah mengesan bot tersebut dalam keadaan yang mencurigakan dari perairan negara jiran memasuki perairan negara sebelum ianya berjaya dipintas.
“Hasil pemeriksaan, mendapati PATI tersebut mendakwa berasal daripada Filipina. Bot tersebut di usir dan diiring sehingga keluar dari perairan negara bagi mengekang penularan wabak penyakit pandemik COVID-19,
“Bot tersebut juga diarahkan supaya tidak memasuki perairan negara selaras dengan kehendak undang-undang Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi mengekang penularan wabak COVID-19,” katanya menerusi hantaran di media sosial PPM Wilayah 4 Sabah. – airtimes.my