Home Semasa Fasa Peralihan ke Endemik: 1 SOP, 9 Garis Panduan mudah untuk diikuti – Hishammuddin

Fasa Peralihan ke Endemik: 1 SOP, 9 Garis Panduan mudah untuk diikuti – Hishammuddin

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin hari ini menegaskan Fasa Peralihan ke Endemik yang akan berkuatkuasa mulai 1 April ini merangkumi 1 Prosedur Operasi Standard (SOP) dan 9 Garis Panduan.

Menurut beliau, 1 SOP dan 9 Garis Panduan yang diperkenalkan dalam Fasa Peralihan ke Endemik ini penting dalam usaha mengembalikan kehidupan normal.

“Penting juga untuk kita semua ambil maklum bahawa dalam Fasa ini, terdapat 1 Prosedur Operasi Standard (SOP) dan 9 Garis Panduan,

“Ia merupakan salah satu daripada 7 Tonggak yang paling penting di fasa berkenaan terutama dalam usaha negara menuju kehidupan yang hampir normal,” kata Hishammuddin dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19 menegaskan 1 SOP yang diperkenalkan adalah ringkasan daripada 181 SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Biarpun hanya 1 SOP, namun ia masih akan dikuatkuasakan di bawah Akta 342 bermula 1 April,” tegasnya.

Menurut Hishammuddin, SOP tersebut mengandungi 10 keperluan yang telah diperkenalkan oleh rakyat dalam fasa PPN.

“Keperluan di bawah 1 SOP ini merangkumi 10 keperluan sudah biasa diamalkan oleh orang ramai dalam Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Atas sebab itu, saya percaya setiap lapisan masyarakat boleh untuk terus melaksanakannya dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan 9 Garis Panduan yang diperkenalkan pula tidak akan dikuatkuasakan di bawah Akta 342.

“Ia menjadi panduan yang amat digalakkan untuk dipatuhi bagi memastikan rakyat kekal berwaspada dengan risiko COVID-19 apabila melakukan aktiviti-aktiviti tertentu,” katanya.

Antara keperluan yang digariskan di bawah 1 SOP Fasa Peralihan ke Endemik adalah memakai pelitup muka ketika di tempat awam, waktu operasi mengikut lesen/permit, penjagaan kebersihan tangan dan pelaksanaan ujian pengesanan COVID-19.

Selain daripada itu, SOP Fasa Peralihan ke Endemik ini turut merangkumi pengurusan kes yang disyaki atau disahkan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),  penggunaan MySejahtera dan MySJTrace untuk pendaftaran kemasukan.

Penjarakan fizikal 1 meter, pengudaraan dan sistem ventilasi, kebersihan premis serta pematuhan keperluan vaksinasi antara keperluan yang digariskan dalam SOP ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Fasa Peralihan ke Endemik akan dikuatkuasakan mula 1 April 2022.

Dalam fasa tersebut, sempadan negara mula dibuka selepas 2 tahun ditutup semasa COVID-19 melanda global. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply