Home SemasaGlobal Tawaran MiG-29 Poland undang bahaya kepada NATO – Pentagon

Tawaran MiG-29 Poland undang bahaya kepada NATO – Pentagon

by M.Daim

WASHINGTON, 9 Mac – Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon) hari ini menyatakan tawaran jet pejuang MiG-29 oleh Poland adalah berisiko tinggi.

“Keputusan untuk menyerahkan MiG-29 kepada AS adalah dilakukan oleh pihak Poland sendiri,

“Rancangan untuk menerbangkan jet pejuang di bawah tanggungan kerajaan AS dari pangkalan NATO di Jerman ke Ukraine akan memberikan implikasi serius,” Setiausaha Akhbar Pentagon, John F. Kirby dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, rancangan tersebut adalah ‘kabur’ dan tidak mempunyai rasional yang kukuh.

“AS akan terus berbincang dengan sekutu dan rakan untuk mengatur bantuan keselamatan kepada Ukraine,” jelasnya.

Terdahulu, Poland menyuarakan hasrat untuk menyerahkan 23 buah jet pejuang MiG-29 kepada AS untuk diberikan kepada Ukraine.

Kementerian Luar Poland dalam satu kenyataan menjelaskan keputusan tersebut dicapai hasil perbincangan pihak tertinggi kerajaan di Warsaw.

Menurutnya, penyerahan jet pejuang MiG-29 tersebut wajar digantikan dengan pesawat yang setaraf dari AS.

Presiden Rusia, Vladimir Putin sebelum ini memberi amaran kepada pihak NATO untuk tidak campur tangan dalam konflik di Ukraine termasuk membekalkan senjata kepada Kyiv. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply