Home Semasa Konsert di Bulatan Sultan Azlan Shah diadakan secara haram

Konsert di Bulatan Sultan Azlan Shah diadakan secara haram

by Nurulhuda

IPOH, 6 Mac – Polis Perak mengesahkan video tular berkaitan orang awam berkumpul beramai-ramai menyertai satu konsert di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, video tersebut dikesan telah tular menerusi media sosial dengan memetik sumber daripada pemilik akaun TikTok @ACIK_KESEPIAN yang mendapat perhatian umum.

Beliau berkata, susulan itu juga, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh telah menerima satu laporan polis mengenai kejadian tersebut.

“Siasatan awal pihak polis mendapati penganjur tersebut tidak memohon kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan IPD Ipoh,

“Pihak penganjur dan pengunjung juga didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal serta sebahagian pengunjung tidak memakai pelitup muka,

“Kini, pihak polis sedang mengesan pemilik akaun TikTok @acik_kesepian dan individu yang terlibat dalam kes tersebut untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mior Faridalathrash berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 22(B) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Fadli Ahmad di talian 019-2500019.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply