Home Semasa Pemilikan saham: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia minta penjelasan Azam Baki

Pemilikan saham: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia minta penjelasan Azam Baki

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan menghubungi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung isu akaun dagangan saham miliknya yang didakwa digunakan oleh adik beliau, Nasir.

SC dalam satu kenyataan berkata, mereka akan mendapatkan penjelasan daripada pihak-pihak berkaitan dalam isu tersebut.

“SC akan mendapatkan penjelasan daripada pihak-pihak terbabit termasuk adik Azam Baki, Nasir, bagi pembelian saham pada 2015,” kata kenyataan itu.

Pada masa yang sama, SC menyatakan akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti yang dideposit atau atas penama yang diberi kuasa atau dibenarkan mengikut Seksyen 25 Akta Perindustian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).

“Seksyen 25 SICDA menetapkan semua urus niaga sekuriti itu hanya boleh dilakukan oleh pemilik manfaat sekuriti atau penama yang sah,” jelasnya.

Semalam, Azam Baki menafikan tuduhan bahawa beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat. Beliau menegaskan perkara tersebut merupakan satu tohmahan yang berniat jahat.

Selain daripada itu, beliau menegaskan saham-saham yang didakwa dimiliki beliau adalah dibeli oleh adiknya melalui pasaran terbuka.

“Saham-saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adik saya menggunakan pembiayaannya,

“Saham-saham syarikat yang dibeli olehnya tiada kaitan dengan siasatan oleh SPRM,” katanya dalam sidang media.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang menyatakan isu pemilikan saham telah dijelaskan oleh Azam Baki semasa dipanggil oleh panel lembaga untuk memberi keterangan.

“Pembelian saham-saham tersebut dibuat di pasaran terbuka dan tiada sebarang percanggahan kepentingan bagi pembelian saham-saham berkenaan pada tahun 2015,

“Walau bagaimanapun, kesemua saham-saham tersebut telah dipindahkan semula kepada adiknya (Nasir) dalam tahun berkaitan (2015),

“Justeru, LPPR berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan dan mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau konflik kepentingan dalam perkara tersebut,” kata Abu Zahar. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply