Home Pertahanan dan Keselamatan COVID-19: Hospital Medan ATM HSA ditutup sepenuhnya

COVID-19: Hospital Medan ATM HSA ditutup sepenuhnya

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU – Operasi Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditempatkan di pekarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang didirikan bagi menampung keperluan pesakit COVID-19 ditamatkan sepenuhnya.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyanathan berkata, sepanjang tempoh berkenaan operasi hospital medan itu telah merawat seramai 1,592 pesakit COVID-19 bagi kategori 1 hingga 4 dari seluruh daerah di negeri itu.

Beliau berkata, hospital medan tersebut diaktifkan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor dengan kerjasama ATM pada 6 Jun lepas dan mula menerima pesakit COVID-19 pada 21 Jun 2021.

“Hospital medan ini dibuka di pekarangan HSA dan mempunyai kapasiti sebanyak 60 katil wad serta 4 katil unit rawatan rapi (ICU),

“Kemudian sekitar Ogos hingga Oktober, dimaklumkan sebanyak 16 katil telah ditambah bagi menampung bilangan kemasukan pesakit yang tinggi ketika itu,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Menurutnya, penutupan hospital medan ini juga berikutan penurunan bagi kes COVID-19 di negeri Johor dan hospital yang ada sudah mampu menguruskan pesakit di wad masing-masing.

“Dalam tempoh operasi hospital medan berkenaan, seramai 70 anggota tentera bersama 74 petugas HSA telah bersama-sama memberikan khidmat bakti bagi merawat pesakit dijangkiti wabak itu,

“Kerjasama yang baik dipamerkan oleh pelbagai agensi sepanjang pelaksanaan dan tempoh operasi hospital ini,

“Justeru, kerajaan negeri Johor juga ingin mengambil kesempatan untuk menzahirkan penghargaan serta ucapan tahniah kepada semua barisan hadapan dan agensi yang terlibat dalam operasi hospital medan ini,” tambahnya.

Sehingga semalam, Johor merekodkan sebanyak 297 kes jangkitan COVID-19 sekaligus jumlah keseluruhan jangkitan itu meningkat ke 240,286 dan merekodkan 3,822 kematian. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply