KUALA LUMPUR, 29 Jun – Pemuda UMNO mendesak supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin segera meletakkan jawatan selaku Perdana Menteri kerana jelas melanggar sumpah jawatan untuk sentiasa taat kepada Yang di-Pertuan Agong dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pergerakan itu memandang serius titah Seri Paduka Baginda yang menzahirkan rasa amat dukacita mengenai kekeliruan yang disengajakan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat.
“Ternyata pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat sebagaimana yang diumumkan Menteri Undang-Undang pada hari Isnin, 26 Julai lalu di Parlimen amat mengelirukan kerana hakikatnya belum lagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,
“Malah, Istana Negara juga mendedahkan bahawa kerajaan dengan sengaja ingkar dan melanggar titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong yang jelas mahu cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan (pengundian) sejajar dengan maksud Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam hantaran di media sosial, hari ini.
Beliau berkata, tindakan kerajaan ini jelas merupakan satu bentuk penderhakaan kerana membelakangi titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara.
Sementara itu, Pemuda UMNO juga mendesak supaya Ahli-Ahli Parlimen UMNO menzahirkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 7 Julai yang lalu untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin selaku Perdana Menteri.
Jelasnya, sebagai sebuah parti yang menjadi benteng utama membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana Fasal 3 Perlembagaan UMNO, UMNO tidak boleh berkompromi dengan sikap biadap kerajaan yang dipimpin Muhyiddin terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. – airtimes.my