KUALA LUMPUR, 7 Jul – Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri berkuat kuasa serta merta.
Perkara ini dimaklumkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan hari ini.
“Sebagai Menteri Kanan, beliau akan mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,
“Disamping itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju supaya Hishammuddin membantu beliau dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.
Pada masa sama, Muhyiddin telah melantik Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.
Menurutnya, pelantikan Ismail Sabri dapat membantu Perdana Menteri menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan serta ekonomi pada masa ini.
“Kedua-dua pelantikan ini telah disembah maklum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan berkuatkuasa serta-merta,
“Adalah diharapkan pelantikan ini akan meningkatkan lagi keupayaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) khususnya dalam menghadapi pandemik COVID-19, memperkuatkan perpaduan dalam kalangan parti-parti yang membentuk kerajaan dan memperkukuhkan kerajaan PN dengan tadbir urus yang telus, bebas rasuah serta berintegriti,” ujarnya. – airtimes.my