KUALA LUMPUR, 26 Jul – Tugasan pengumuman harian berkaitan aktiviti penguatkuasaan serta prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan oleh Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkuat kuasa esok (27 Julai 2021).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai Menteri Kluster Keselamatan yang baharu, Ahli Parlimen Sembrong itu akan mengambil alih tugas yang sebelum ini dilaksanakan oleh beliau berkenaan dengan COVID-19.
“Sejak 20 Mac 2020, saya memikul tanggungjawab sebagai Menteri Kanan Pertahanan (Kluster Keselamatan) dan semua kenyataan media harian berkaitan Task Force Operasi Pematuhan dan penguatkuasaan undang-undang di bawah Akta 342 di seluruh negara bagi mengawal penularan wabak COVID-19 telah dikeluarkan oleh saya setiap hari sepanjang 1 tahun, 4 bulan dan 6 hari,
“Setiap hari juga saya menerima serta mengumumkan laporan berkenaan pematuhan SOP, kawalan sempadan negara dan lain-lain perkara dari semua agensi terlibat bagi memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia berkenaan situasi semasa keselamatan dalam tempoh PKP berkenaan COVID-19 dan Pelan Pemulihan Negara (PPN),
“Seperti yang semua maklum, Hishammuddin telah dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) apabila saya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri,
“Sebagai Menteri Kluster Keselamatan yang baharu, maka beliau akan mengambil alih tugas yang saya laksanakan sebelum ini berkenaan dengan COVID-19,” katanya dalam kenyataan mengenai PPN dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), pada hari ini.
Menurutnya, mulai esok, 27 Julai 2021, tugasan pengumuman harian berkaitan aktiviti penguatkuasaan serta SOP PKP akan diteruskan oleh Hishamuddin.
“Sekalung penghargaan kepada semua yang terbabit sepanjang penglibatan saya, bermula dari anggota pentadbiran, kementerian-kementerian terlibat, agensi, frontliners serta rakyat Malaysia yang mahukan negara bebas dari COVID-19,” tambahnya. -airtimes.my