KUALA LUMPUR, 30 Jun – Brunei memberi sumbangan alat bantuan pernafasan dan kit ujian PCR COVID-19 berjumlah RM1.7 juta kepada Malaysia untuk keperluan kesihatan semasa menghadapi penularan wabak itu di negara ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata sumbangan itu akan ditempatkan di hospital kerajaan di Labuan, Sabah dan Sarawak mulai Julai ini.
Menurutnya, melalui sumbangan itu, ia mempamerkan hubungan sedia ada di antara Malaysia dan Brunei yang sudah terjalin sekian lama akan diperkukuhkan lagi demi kepentingan rakyat kedua-dua negara
“Baru selesai mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawat, Menteri Luar Negeri II, Dato Seri Setia Erywan,
“Kerajaan Brunei berbesar hati menyumbang alat bantuan pernafasan dan PCR COVID-19 test kits bernilai RM1.7 juta yang akan ditempatkan di Hospital Kerajaan di Labuan, Sabah dan Sarawak,
“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Seri Paduka Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerajaan Brunei Darussalam atas keprihatinan ini,” katanya dalam hantaran di media sosialnya, hari ini.
Hishamuddin berkata, Brunei antara negara terawal yang bekerjasama dengan Malaysia sejak pandemik ini melanda tahun lalu.
“Inilah lambang keakraban kedua-dua negara, saya dan Dato Erywan akan pastikan hubungan baik ini terus dipelihara sebaiknya. Terima kasih Brunei,” tambahnya.
Selain sumbangan, beliau turut membincangkan tentang pelaksanaan 5 konsensus yang dicapai semasa Mesyuarat Pemimpin ASEAN April lalu berhubung ASEAN-Myanmar, mandat dan pelantikan utusan khas ASEAN serta garis masa yang relevan untuk melaksanakannya. -airtimes.my