Home Semasa Diiringi tentera Mesir dengan kereta perisai, Ebit Lew berjaya masuki Gaza

Diiringi tentera Mesir dengan kereta perisai, Ebit Lew berjaya masuki Gaza

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Selepas sebulan tiba di Mesir, pendakwah dan aktivis terkenal Ustaz Ebit Lew telah berjaya memasuki ke Gaza untuk meneruskan misi kemanusian serta mengagihkan bantuan kepada rakyat negara itu pagi ini.

Ebit Lew menerusi hantaran di akaun Facebooknya menjelaskan, kemasukan beliau dan pasukannya itu diiringi Tentera Mesir dengan kereta berperisai ke kawasan tersebut.

Menurutnya, kedutaan Malaysia dan Unit perisikan Tentera Mesir memaklumkan bahawa pasukannya adalah badan bukan kerajaan (NGO) pertama di dunia yang diberikan kebenaran untuk masuk ke Pintu Rafah sejak tercetusnya peperangan baru-baru ini.

“Terima kasih teramat sangat pada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang dari mula membantu team kami dan setiap hari kami bermesej,

“Datuk Seri Hishammuddin telefon Kementerian Luar Mesir dan terus datang ke Mesir untuk membantu saya. Katanya, ustaz jaga team kita ye, walau terlambat seminit, betapa ramai yang memerlukan di Palestin,” katanya hari ini.

Dalam masa yang sama, Ebit Lew turut menzahirkan jungjungan kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang banyak membantu dan turut menyumbang bersama serta selalu bertanya khabar.

“Terima kasih Palestine Red Crescent Society, terima kasih Malaysian Red Crescent serta Kerajaan Mesir yang membantu segala urusan dan menjaga keselamatan kami sepanjang perjalanan,”ujarnya.

Beliau turut berkongsi rasa gembira dan terharu apabila berjaya menjejakkan kaki di bumi Palestin serta disambut meriah oleh masyarakat di sana.

“Sebak sayu terasa seperti balik kampung halaman sendiri, mungkin dari kecil berdoa untuk rakyat Palestin dan kini dapat jejak kaki ke sini,

“Saya minta maaf tidak ‘update’ sebelum ini atas faktor keselamatan, terharu bila sampai kami disambut oleh Palestin Red Crescent, Kementerian Kesihatan Palestin dan Kementerian Luar Palestin,

“Sepanjang masuk sempadan Rafah cuma kedengaran semua ajak minum makan dan ke rumah mereka, terasa seperti keluarga yang sangat dekat,” ujarnya.

Ebit Lew dan rombongan bantuan kemanusiaannya berlepas ke Mesir pada 25 Mei lalu dan 2 hari kemudian melalui satu hantaran di Facebook, beliau memaklumkan selamat tiba di Mesir.

Selain itu, beliau turut memaklumkan sudah membeli barangan keperluan asas serta ubat-ubatan yang akan dibawa menggunakan dua treler dan beberapa lori untuk dihantar terus ke hospital Gaza pada hari terbabit. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply