Home Pertahanan dan Keselamatan Hospital Medan Labuan: ATM komited bantu kerajaan perangi wabak COVID-19

Hospital Medan Labuan: ATM komited bantu kerajaan perangi wabak COVID-19

by Nurulhuda

LABUAN, 28 Jun – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus komited membantu kerajaan menangani penularan wabak COVID-19 demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata, ATM sekali lagi meneruskan khidmat tugas sekundernya dalam menyediakan Hospital Medan ATM yang ke-6 di Labuan setelah menubuhkan Hospital Medan Ke-5 di Hospital Tuanku Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB).

Beliau menjelaskan, pembukaan ke-6 hospital medan tersebut adalah hasil kerjasama sepenuhnya daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Kesihatan Labuan, Perbadanan Labuan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Labuan.

Selain itu, ia juga mendapat bantuan khas daripada Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Malaysian Medical Relief Society-MERCY Malaysia) bagi melaksanakan penubuhan hospital medan berkenaan yang ditempatkan di Dewan Perbandaran Labuan bagi merawat pesakit COVID-19 untuk kategori 3, 4 dan 5.

Menurutnya, Hospital Medan ATM Labuan ini telah memulakan operasinya pada Ahad, 27 Jun lalu setelah selesai semua ujian operasi dan keselamatan.

“Aturgerak anggota dan aset ATM serta MERCY Malaysia bagi kerja-kerja pemasangan telah dilaksanakan sejak 22 Jun 21 lalu. Turut dilakukan adalah kerja-kerja sivil, mekanikal dan elektrikal oleh JKR Labuan yang bermula pada 24 Jun 21,” katanya dalam kenyataan, pada hari ini.

Kerja-kerja pemasangan telah dilaksanakan oleh anggota dan aset ATM serta MERCY Malaysia sejak 22 Jun 21 lalu.

Manakala, pada 26 Jun pula telah dilaksanakan sesi dry run dan latihan kebakaran bagi semua petugas melibatkan pegawai dan anggota Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT), Hospital Labuan, Jabatan Kesihatan Labuan, MERCY Malaysia, JKR WP Labuan, Perbadanan Labuan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM Labuan), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM Labuan), beberapa pegawai serta anggota dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Labuan.

Beliau berkata, ATM melalui PKAT telah menggerakkan beberapa peralatan hospital medan termasuk Kompleks Khemah Drash serta peralatan-peralatan perubatan dan bukan perubatan yang lain.

“Tidak ketinggalan turut diaturgerakkan ialah ahli Tim Teknikal Hospital Medan di samping Pakar Bius, Pakar Kecemasan, Pegawai Perubatan dan Anggota Perubatan Kor Kesihatan Diraja (KKD),” tambahnya.

Sesi dry run dan latihan kebakaran bagi semua petugas melibatkan pegawai dan anggota telah diadakan pada 26 Jun 2021.

Tambahnya, bantuan dari MERCY Malaysia, Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkenaan pula telah menyediakan sebahagian peralatan perubatan Unit Rawatan Rapi (ICU) yang di perlukan, unit khemah inflatable jenis ROFI, unit khemah utilis TM 36, 5 unit aircond 5.0 HP, tenaga sukarelawan kesihatan dan aset-aset logistik am.

“Mereka juga terlibat secara langsung di dalam mengendalikan latihan klinikal kepada petugas-petugas ATM dan KKM,

Affendi menjelaskan, komitmen ATM ini serta kerjasama dengan pelbagai agensi lain akan diteruskan bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia sentiasa dilindungi, sekaligus dapat membantu negara dalam mengekang penularan wabak COVID-19 ini.

Labuan telah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilanjutkan sehingga esok dengan 8 lokalitinya di bawah Sekatan Pergerakan Penuh.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, sehingga semalam, seramai 60 pesakit kategori ketiga dan keempat COVID-19 telah dipindahkan ke hospital tersebut yang dibuka di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan.

Hospital yang mempunyai kapasiti 100 katil termasuk 4 di Unit Rawatan Rapi (ICU) transit telah menempatkan pesakit pelbagai kluster aktif termasuk beberapa banduan dari Kluster Tembok Labuan di Pusat Koreksional Labuan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply