Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Program Vaksinasi Pandu Lalu: 7,032 tentera, keluarga terima suntikan di Kuching

Program Vaksinasi Pandu Lalu: 7,032 tentera, keluarga terima suntikan di Kuching

by Air Times News Network

KUCHING, 20 Jun – Seramai 7,032 anggota tentera, keluarga dan kakitangan awam yang menghuni kediaman di Kem Muara Tuang dan sekitar Kuching telah disenaraikan untuk menerima suntikan vaksin pada program Vaksinasi Pandu Lalu Tentera Darat Malaysia (TDM).

TDM dalam hantaran di media sosialnya berkata, program kali ini dilaksanakan selama 5 hari, mulai 19 hingga 23 Jun 2021.

“Dari 8.00 pagi hingga 4.00 petang dan bersamaan dengan 8 jam sehari. Ia dilaksanakan dengan melibatkan 3 saluran kenderaan beserta 6 stesen suntikan dengan membabitkan seramai 76 petugas,” katanya.

Menurut TDM, program kali kedua ini dibuat kerana kejayaan dicapai pada projek perintis yang telah dilaksanakan di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Dengan adanya program sebegini, ini dapat meningkatkan jumlah penerimaan vaksin dalam sehari iaitu seramai 960 penerima vaksin secara pandu lalu berbanding dengan sekitar 300 hingga 500 penerima vaksin secara statik,” jelasnya.

Semalam, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninjau perkembangan program Vaksinasi Pandu Lalu di yang dilaksanakan di Kem Muara Tuang, Sarawak.

Ismail Sabri berkata program vaksinasi pandu lalu ini akan diperluaskan lagi secara berskala di dalam kem tentera dan penempatan di seluruh negara.

Pada sidang media, beliau juga memaklumkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membina sebuah Hospital Medan di Labuan bagi menampung pesakit COVID-19 yang semakin meningkat sehingga seluruh Labuan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Kita diminta oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menyediakan Hospital Medan di sana kerana jumlah katil di hospital sedia ada berada pada ditahap kritikal,

“Pasukan teknikal ATM akan digerakkan ke Labuan pada Selasa depan dan hospital itu dijangka beroperasi mulai 27 Jun dengan dilengkapi 90 katil, empat katil Unit Rawatan Rapi (ICU), lapan doktor termasuk pakar perubatan dan 30 anggota paramedik,” katanya.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Affendi Buang TUDM; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Leftenan Jeneral Datuk (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply