Home Pertahanan dan Keselamatan Video Kak Siti kena bayar wang pelincir masuk Malaysia, Imigresen lapor SPRM

Video Kak Siti kena bayar wang pelincir masuk Malaysia, Imigresen lapor SPRM

A+A-
Reset

PUTRAJAYA, 27 Mei – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah membuat laporan berhubung tular di laman sosial sebuah video bertajuk “Kak Siti kena bayar wang pelincir untuk masuk ke Malaysia” kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, hari ini.

Susulan itu, satu laporan telah dibuat oleh Timbalan Ketua Pengarah (Kawalan) JIM, Datuk Makhzan Mahyuddin di Ibu Pejabat SPRM pada jam 2.30 petang.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, video tersebut memaparkan seorang wanita memberi ucapan berkaitan status keberadaan dan pergerakan keluar masuk negara seorang wanita warga Indonesia yang dikenali sebagai ‘Kak Siti’.

“Dakwanya ‘Kak Siti’ mempunyai pas kerja yang sah dan telah melahirkan tiga orang anak di Malaysia,

“Beliau telah pergi ke Batam, Indonesia dipercayai cuba membantu ‘Kak Siti’ untuk masuk semula ke Malaysia,

“Turut dibangkitkan dalam ucapan itu mengenai dakwaan bahawa ‘Kak Siti’ perlu membayar sejumlah wang kepada Pegawai Imigresen bagi membantu kemasukan ke negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, laporan yang dibuat adalah bagi membolehkan satu siasatan yang telus dapat dijalankan.

“Jika terbukti dakwaan tersebut adalah benar, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap pegawai yang melakukan kesalahan,

“Manakala jika didapati tidak benar, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap wanita yang memberi ucapan di dalam video tersebut,” ujarnya.

Tegas Khairul Dzaimee, JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan kakitangan yang menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi.

Pihaknya juga tidak akan membiarkan mana-mana pihak untuk membuat kenyataan atau dakwaan yang tidak benar dan boleh menjejaskan nama baik JIM. – airtimes.my

KATA KUNCI : Datuk Indera Khairul Dzaimee DaudIndonesiaJabatan Imigresen Malaysia (JIM)Kak SitiRasuahSPRMWang Pelincir

Leave a Reply