Home Semasa PKP 3.0: Kapasiti penumpang semua pengangkutan awam dihadkan 50 peratus

PKP 3.0: Kapasiti penumpang semua pengangkutan awam dihadkan 50 peratus

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah menghadkan kapasiti penumpang serta frekuensi bagi semua perkhidmatan pengangkutan awam darat dan air sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang berkuatkuasa 25 Mei ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, langkah itu selaras dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani pandemik COVID-19.

“Setiap kenderaan penumpang (teksi serta e-hailing) dihadkan kepada 3 orang (seorang pemandu dan 2 penumpang),

“Ini termasuk kenderaan yang bersaiz lebih besar seperti pacuan empat roda dan van,

“Sila rujuk butiran SOP terkini oleh MKN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, agensi-agensi di bawah MOT akan mengemaskini jadual perjalanan untuk menghadkan frekuensi bagi perkhidmatan bas, feri, rel dan keretapi.

“Pengguna pengangkutan awam digalakkan untuk mendapatkan maklumat terkini menerusi laman sesawang atau media sosial penyedia perkhidmatan yang berkenaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, perkhidmatan penerbangan penumpang dan kargo dikecualikan daripada pengumuman tersebut berikutan kapasiti penumpang yang sedia rendah.

“Walau bagaimanapun, syarikat penerbangan dan penumpang perlu mematuhi SOP seperti ditetapkan MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),

“MOT akan memantau situasi dari semasa ke semasa untuk mengurangkan ketidakselesaan pengguna dan orang ramai,” katanya.

Tambahnya, bagi mematuhi SOP pencegahan COVID-19, pengguna digesa mendapatkan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk merentas negeri atau daerah sebelum menggunakan mana-mana pengangkutan awam.

“Anggota penguatkuasa akan ditempatkan di stesen-stesen serta terminal-terminal pengangkutan awam bagi memastikan SOP COVID-19 dipatuhi dan memantau keadaan semasa,” tambahnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply