KUALA LUMPUR, 17 Jun – Inisiatif tambang percuma selama sebulan untuk penumpang RapidKL dan KTM yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menyelesaikan masalah penumpang pengangkutan awam di Kuala Lumpur.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, jumlah subsidi RM155 juta itu tidak berupaya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi penumpang pengangkutan awam yang semakin parah.
Malah, menurutnya, inisiatif itu tidak pun menjawab banyak aduan rakyat yang bergantung kepada pengangkutan awam.
“Kerajaan harus menjawab persoalan yang masih lagi berbangkit walaupun subsidi RM155 juta ini diluluskan kerajaan,
“Pertama, adakah subsidi RM155 juta untuk tambang percuma ini dapat mengurangkan masalah kesesakan penumpang disebabkan kekerapan frekuensi jadual yang lama dan jumlah koc kereta api yang rendah?
“Kedua, adakah subsidi RM155 juta ini dapat meningkatkan kualiti kemudahan awam di stesen-stesen kereta api yang bermasalah, tidak mesra OKU dan rosak?” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Syed Saddiq berkata, walaupun beliau menyambut baik usaha tersebut, kerajaan harus realisitik dan berhadapan dengan masalah sedia ada yang sangat membimbangkan.
Justeru beliau mencadangkan kerajaan dan Ismail Sabri mempertimbangan 3 cadangan yang lebih pragmatik untuk membelanjakan peruntukan RM155 juta itu.
“Antara cadangan tersebut adalah menambah jumlah kereta api dan koc kereta api kepada penumpang untuk meningkatkan jumlah kapasiti penumpang dalam satu-satu masa serta meningkatkan kekerapan frekuensi kereta api untuk mengurangkan kesesakan penumpang,
“Selain itu adalah menambah jumlah bas awam untuk penumpang kerana jumlah penumpang yang bergantung kepada pengangkutan bas awam semakin ramai dan kesesakan serius berlaku apabila jumlah bas tidak mencukupi untuk menampung jumlah penumpang,
“Seterusnya adalah menaik taraf kemudahan di setiap stesen seperti kemudahan untuk orang ramai termasuklah untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU),” ujarnya.
Menurutnya, 3 cadangan tersebut pasti dapat membantu lebih ramai penumpang untuk jangka masa yang panjang.
“Subsidi RM155 juta untuk tambang percuma pasti tidak dapat menyelesaikan masalah dasar yang dihadapi oleh penumpang pengangkutan awam,
“Saya juga bersedia bertemu Perdana Menteri dan membawa isu-isu berbangkit dari masalah pengangkutan awam negara,” tambahnya.
Semalam, Ismail Sabri mengumumkan pemberian perkhidmatan secara percuma selama sebulan bagi semua pengangkutan awam di bawah RapitKL.
Beliau berkata, ia akan membabitkan perkhidmatan LRT, MRT, BRT, Monorel dan bas RapidKL yang bermula semalam.
Berita gembira itu disampaikan oleh Perdana Menteri sempena pembukaan rasmi Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu, pada Khamis.-airtimes.my