Home Pertahanan dan Keselamatan TPA M-15 berjaya laksana misi pemantuan gencatan senjata di Mindanao

TPA M-15 berjaya laksana misi pemantuan gencatan senjata di Mindanao

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 23 Apr – Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao ke-15 (TPA M-15) berjaya mengekalkan kearaban diplomasi pertahanan antara Malaysia dan Filipina walaupun menghadapi pelbagai cabaran serta ancaman di selatan negara jiran itu.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata, TPA M-15 sentiasa komited melaksanakan tugas demi memastikan ketenteraman awam terpelihara melalui pemantauan gencatan senjata yang telah dimeterai oleh kedua-dua pihak agar ianya dihormati dan dipatuhi pada sebilang masa.

Beliau berkata, TPA M-15 juga telah berjaya melaksanakan beberapa inisiatif bagi membantu pembangunan sosio-ekonomi masyarakat Mindanao.

“Sedikit sebanyak, kejayaan-kejayaan yang dicapai ini telah meningkatkan lagi imej negara Malaysia sebagai sebuah negara pendamai yang berkaliber dan boleh dipercayai,

“Keamanan dan kesejahteraan yang wujud ini turut menyumbang kepada kemakmuran dan kestabilan negara-negara jiran terutamanya Malaysia,” katanya dalam ucapan Majlis Pembubaran TPA M-15, di Dewan Perkasa, Wisma Perwira, hari ini.

TPA M-15 telah selamat kembali ke tanah air pada 10 April 2021 dan seterusnya menjalani kuarantin wajib selama 10 hari.
Pasukan yang berkekuatan seramai 16 orang pegawai dan anggota yang diketuai oleh Mejar Jeneral Datuk Muhammad Anwar Abdullah sebelum ini berlepas ke Filipina pada 12 Mac tahun lalu.

Affendi turut memakaikan Lencana Combat Kagitingan kepada anggota tim ini. Lencana ini dianugerahkan oleh Angkatan Tentera Filipina kepada TPA M-15 atas keberanian dalam melaksanakan tanggungjawab sepanjang melaksanakan misi di Mindanao.

TPA M-16 telah mengambil alih tugas dari TPA M-15 pada 10 Apr lalu bagi meneruskan misi keamanan di bumi Mindanao. –airtimes.my

Galeri gambar:

 

Related Articles

Leave a Reply