Home Semasa Hina Permaisuri: Pemuda PAS mahu Fahmi Reza dikenakan tindakan segera

Hina Permaisuri: Pemuda PAS mahu Fahmi Reza dikenakan tindakan segera

by Nurulhuda

PASIR MAS, 23 Apr – Satu laporan polis telah dibuat ke atas aktivis dan artis grafik, Fahmi Reza, oleh pemimpin PAS kerana didakwa menghina Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, laporan itu dibuat merujuk kepada lakaran yang dibuat Fahmi bertajuk ‘The Is Dengki Ke?.

“Walaupun tajuknya begitu ringkas, tetapi pada saya ia mempunyai niat untuk menghina Raja Permaisuri Agong,

“Sepanjang pemantauan saya terhadap individu bernama Fahmi Reza ini, dia sudah banyak membuat lakaran kartun yang agak mengusik sensitiviti perkauman dan agama,

“Ini adalah had maksimum dan beliau tidak sepatutnya melakukan sehingga ke tahap menghina institusi beraja seperti ini. Ia merupakan satu penghinaan terhadap tunjang Rukun Negara kita,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, semalam.

Status Facebook Fahmi Reza yang memaparkan gambar Tunku Azizah dengan kapsyen ‘this is dengki ke?’.

Sehubungan itu, Ahmad Fadhli yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS memohon pihak polis agar membuka kertas siasatan dan mengheret Fahmi Reza ke muka pengadilan supaya perbuatan menghina secara keterlaluan terhadap institusi beraja ini dapat dielak dan menjadi pengajaran kepada pengguna Facebook lain.

“Walaupun ini negara demokrasi dan kita bebas bersuara untuk menyatakan hak dan sebagainya, ada had dan batasannya,

“Tidak boleh mengusik sensitiviti perkauman dan agama, apatah lagi menghina apa yang menjadi tunjang dalam Perlembagaan iaitu institusi beraja,

“Jadi ini satu pengajaran sepatutnya boleh diambil tindakan oleh pihak PDRM dan kalau kita tidak pertahankan institusi beraja, saya kira ini satu perkara sangat memalukan,” ujarnya.

Perkataan ‘Dengki Ke? merujuk kepada komen Tunku Azizah kepada seorang pengguna media sosial di akaun instagramnya.

Susulan itu, #dengkike turut menjadi viral di twitter Malaysia sejar semalam.

Fahmi Reza telah membuat hantaran menggunakan gambar Tunku Azizah dengan kapsyen ‘this is dengki ke?’ di Facebook yang dibuat sebagai gambar latar dalam aplikasi Spotify.

Sehingga hari ini, status tersebut telah dikongsikan lebih 850 individu dan meninggalkan komen yang mengutuk tindakan Fahmi kerana menghina Raja Permaisuri Agong.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply