Home SemasaGlobal Australia hantar frigat bantu Indonesia cari KRI Nanggala

Australia hantar frigat bantu Indonesia cari KRI Nanggala

by M.Daim

CANBERRA, 23 Apr – Tentera Laut Diraja Australia (Royal Australian Navy,RAN) hari ini telah menghantar dua buah kapal ke Bali bagi melaksanakan misi mencari kapal selam KRI NANGGALA.

Jabatan Pertahanan Australia dalam satu kenyataan berkata, kapal frigat HMAS BALLARAT dan kapal sokongan HMAS SIRIUS telah dikerahkan untuk berlayar ke Bali.

Menurutnya, HMAS Ballarat akan tiba di Bali pada hari ini selepas melalui Selat Lombok. Kapal frigat kelas ANZAC turut membawa helikopter MH-60R dan dijangka akan memulakan pencarian serta-merta.

“HMAS Sirius pada ketika ini berada di luar pesisir Brunei dan akan tiba di lokasi pencarian pada hari Selasa,” kata kenyataan itu.

Australia menjadi negara keempat yang menghulurkan bantuan kepada Indonesia untuk mencari kapal selam tersebut.

Semalam, Singapura serta Malaysia masing-masing telah menghantar kapal penyelamat MV SWIFT RESCUE dan MV MEGA BAKTI.

Pada masa yang sama, India turut menghantar kapal penyelamat Deep-Submergence Rescue Vessel (DSVR).

Sementara itu, operasi pencarian KRI Nanggala yang membawa 53 orang anak kapal sedang giat dijalankan oleh Indonesia.

Semalam, Ketua Staf Angkatan Laut, LAKSAMANA TNI Yudo Margono mendedahkan bekalan oksigen kapal selam malang itu akan bertahan sehingga jam 3 pagi 24 April. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply