Home Pertahanan dan Keselamatan 60 kg daun ketum gagal diseludup ke Thailand

60 kg daun ketum gagal diseludup ke Thailand

by Nurulhuda

ALOR SETAR, 23 Apr – Cubaan menyeludup keluar lebih kurang 60 kilogram daun ketum yang disembunyikan berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah di kedudukan 0.1 batu nautika dari pesisir pantai Kuala Tunjang, Kedah, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, daun ketum yang ditemui di celah pokok di persisir pantai itu dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran iaitu Thailand.

“Hasil maklumat, sebuah bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak ke kawasan berkenaan untuk rondaan Op Aman sebelum mengesan beberapa bungkusan plastik yang diletakkan di celahan pokok dalam keadaan mencurigakan di pesisir pantai,

“Kesemua daun ketum yang dirampas dianggarkan seberat 60 kilogram dan cuba diseludup keluar berikutan permintaan yang tinggi dan harganya yang melonjak sehingga RM180 sekilogram berbanding pasaran tempatan yang hanya RM40 sekilogram,” katanya dalam hantaran di media sosial milik APMM.

Noo Azreyanti menjelaskan, kesemua hasil rampasan dianggarkan bernilai RM10,800 telah dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut,

“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya,” tambahnya.

 

Related Articles

Leave a Reply