Home Pertahanan dan Keselamatan Peruntukan RM1 juta tambah baik Pos Keselamatan ESSZONE

Peruntukan RM1 juta tambah baik Pos Keselamatan ESSZONE

by Nurulhuda

LAHAD DATU, 23 Mac – Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 1 juta bagi proses penambahbaikkan infrastruktur pos-pos keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pembaikkan pos-pos tersebut adalah bagi keselesaan petugas barisan hadapan dalam memperkasakan kawalan keselamatan di Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

“Lawatan saya ke ESSCOM adalah bertujuan untuk meninjau sendiri tahap kesiapsiagaan dan keperluan keanggotaan serta aset-aset lain yang dirasakan perlu dalam usaha untuk memperkukuh lagi penugasan anggota ESSCOM,

“Selain itu, lawatan ini juga turut memberikan semangat dan sokongan moral kepada semua petugas barisan hadapan khususunya kepada Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya selepas membuat lawatan ke pos PGA di Pulau Tabawan dan Pulau Adal, semalam.

Beliau turut menjelaskan ESSZONE juga akan diperhebatkan lagi dengan penggunaan aset dan teknologi baharu dalam memperkasakan pengawasan perairan negara.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan membincangkan strategi baru untuk memperhebatkan lagi aset-aset dan teknologi-teknologi baru yang akan digunakan oleh pasukan keselamatan dalam mengawal serta mengawasi perairan negara daripada dibolosi anasir luar,

“Ia sekaligus memberikan keyakinan kepada masyarakat mengenai tahap keselamatan perairan di negeri ini, “ujarnya.

Dalam masa yang sama, Hamzah turut mengucapkan tahniah di atas kerjasama serta kejayaan yang dicapai oleh pasukan keselamatan ESSCOM melalui Operasi Benteng (Op Benteng) di negeri ini yang telah berjaya mengusir ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) sekaligus dapat mengawal penularan wabak COVID 19.

Turut hadir Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali, Komander ESSCom Ahmad Fuad Othman dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah, Sharifah Sitti Salehah Habib Yussof. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply