Home Pertahanan dan Keselamatan Kastam rampas 16 tan dadah terbesar, bernilai RM5.2 bilion

Kastam rampas 16 tan dadah terbesar, bernilai RM5.2 bilion

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah merampas 94.8 juta pil Captagon disyaki mengandungi dadah jenis Amphetamine dianggarkan bernilai RM5.2 billion di Pelabuhan Klang, Selangor.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan JKDM, rampasan yang dianggarkan seberat 16 tan dan terbesar itu adalah hasil kerjasama JKDM melalui perkongsian maklumat perisikan dengan Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesemua 94.8 juta biji pil dadah itu disorokkan di dalam tayar troli.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata kesemua 94.8 juta biji pil dadah itu disorokkan di dalam tayar troli. Foto: JKDM

“Siasatan awal mendapati kontena-kontena tersebut tiba dari sebuah negara di Timur Tengah dan dipercayai untuk dihantar ke sebuah negara di Asia Timur,

“Rampasan 16 tan Pil Captagon yang dianggarkan bernilai RM5.2 billion pada tahun ini merupakan rampasan dadah terbesar yang pernah direkodkan oleh JKDM setakat ini,”katanya.

Beliau berkata, bagi tahun 2019, JKDM telah merampas sebanyak 4.75 tan dadah pelbagai jenis bernilai RM790 juta.

Manakala, pada tahun 2020, JKDM telah merampas sebanyak 2.86 tan dadah pelbagai jenis bernilai RM117 juta.

“Untuk rekod, sepanjang tahun 2018 pula, JKDM telah merampas sebanyak 3.35 tan dadah pelbagai jenis bernilai RM160 juta,

“Kejayaan hasil kerjasama keselamatan ini dianggap sebagai suatu kejayaan terbesar dalam memerangi kartel dadah antarabangsa,

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabitkan dengan kesalahan, boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati,” tambahnya.

Sehubungan itu, JKDM mengesa orang ramai untuk membantu pihaknya dalam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan untuk tidak melibatkan diri dalam aktiviti tersebut.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply