Home Semasa 32 anggota JPJ ditahan SPRM, disyaki terbabit rasuah RM1.64 juta

32 anggota JPJ ditahan SPRM, disyaki terbabit rasuah RM1.64 juta

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan mengenai penahanan seramai 32 orang anggotanya yang disyaki telibat rasuah RM1.64 juta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Operasi Sukat (Ops Sukat), pada Isnin.

JPJ dalam kenyataan berkata, penahanan anggotanya adalah di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Melaka bagi membantu siasatan lanjut.

“Tindakan ini merupakan hasil kolaboratif rapat antara pihaknya dan SPRM dalam usaha memastikan jabatan berkenaan sentiasa bersih daripada sebarang elemen salah guna kuasa dan gejala rasuah yang mengakibatkan ketirisan kepada hasil negara,

“Inisiatif ini tidak akan berhasil jikalau tidak mendapat kerjasama padu daripada semua pihak terutamanya dalam kalangan warga kerja JPJ sendiri,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, pengurusan tertinggi jabatan ini juga merakamkan ucapan penghargaan kepada warga kerja JPJ yang sentiasa istiqomah menegakkan aspek integriti dalam menjalankan tugasan rutin mereka.

“Pengurusan tertinggi JPJ berharap agar tindakan sebegini akan menjadi satu manifestasi jelas bahawa jabatan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan reputasi dan nama baik jabatan yang menyentuh aspek integriti,

“Pihak JPJ akan sentiasa komited di dalam meneruskan kerjasama padu dengan SPRM, agar langkah pematuhan dan ketelusan dalam proses kerja jabatan, akan sentiasa dapat dinobatkan demi mengelak daripada berlakunya sebarang kegiatan yang tidak bermoral seperti ini di masa hadapan,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply