Home Semasa PKP 2.0: Pelanggan boleh makan lebih 2 orang semeja mulai esok

PKP 2.0: Pelanggan boleh makan lebih 2 orang semeja mulai esok

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 Feb – Kerajaan bersetuju membenarkan lebih dua orang pelanggan makan semeja di kedai makan atau restoran berkuat kuasa esok.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua kedai makan dan restoran di semua kawasan termasuk yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibenarkan berbuat demikian mengikut keluasan meja makan dengan syarat menjaga penjarakan fizikal satu meter antara meja.

Selain itu, jumlah penumpang dalam kenderaan bagi kawasan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) juga dibenarkan berdasarkan jumlah atau kapasiti tempat duduk kenderaan tersebut.

Ismail sabri menjelaskan, Mesyuarat Teknikal hari ini telah bersetuju semua kawasan PKP, PKPB dan PKPP dibenarkan ‘dine in’ dengan kebenaran makan berdasarkan keluasan meja dan adanya penjarakan fizikal satu meter.

“Kami telah mengambil pandangan dan rayuan supaya dibenarkan penumpang di PKP sama dengan di PKPB atau PKPP,

“Maka mesyuarat bersetuju untuk membenarkan rayuan tersebut, di PKP pun jumlah penumpang sama berdasarkan jumlah tempat duduk dalam kenderaan tersebut,” katanya dalam sidang media mengenai pelaksanaan PKP, hari ini.

Bermula Jumaat, 4 negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang masih kekal sebagai PKP sehingga 4 Mac depan.

“Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah dilonggarkan kepada PKPB,

“Manakala, Perlis, satu-satunya negeri yang dilonggarkan kepada PKPP, yang juga berkuatkuasa mulai esok,”jelasnya. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply