SIBU, 12 Feb – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memasang kawat berduri di dua kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu flat perumahan dan Town Villa, Sibu Jaya, semalam.
Markas Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Bgd) dalam hantaran di media sosial berkata, seorang pegawai dan 23 anggota lain-lain pangkat (LLP) dari Batalion Ketiga Rejimen Renjer Diraja (3 RRD) telah diaturgerakkan bagi membantu pemasangan kawat berduri (concertina Wire) di dua kawasan tersebut.
“Pemasangan Concertina Wire dilaksanakan di kawasan tersebut berikutan daripada pengisytiharan sebagai kawasan PKPD mulai 11 hingga 25 Februari 2021,” katanya.
Menurut hantaran itu juga, pihak ATM sentiasa bersedia untuk membantu Jawatankuasa Pengurusan Bencana (NADMA) Bahagian Sibu dalam melaksanakan kawalan ketat ke atas kawasan jangkitan bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.
Flat perumahan dan Town Villa, Sibu Jaya dikenakan PKPD ekoran peningkatan kes yang mendadak di kawasan berkenaan. – airtimes.my