Home Pertahanan dan Keselamatan 523 veteran ATM terjejas banjir terima bantuan RM500

523 veteran ATM terjejas banjir terima bantuan RM500

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 26 Jan – Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menyampaikan sumbangan kepada 532 veteran ATM yang terjejas akibat banjir di lima negeri bermula esok hingga 31 Januari ini.

JHEV ATM dalam kenyataan hari ini berkata, Program Cakna Veteran ATM – Penyampaian Sumbangan Mangsa Banjir akan dilaksanakan di negeri Pahang, Kelantan, Terengganu, Johor dan Perak.

“Di Pahang seramai 436 orang, Kelantan (34 orang), Johor (26 orang), Terengganu (24 orang) dan Perak (12 orang),

“Sumbangan ini selari dengan keprihatinan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan veteran ATM yang ditimpa musibah banjir di beberapa buah negeri,” katanya.

Menurut kenyataan itu, penyampaian sumbangan ini akan dilaksanakan oleh Pengarah JHEV ATM cawangan negeri masing-masing.

“Program ini akan dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti mengekalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan dengan sabun,

“Keutamaan penyampaian sumbangan banjir diberikan kepada veteran ATM atau tanggungan yang terlibat dengan bencana banjir dan dipindahkan ke pusat permindahan banjir serta diperakui JHEV ATM negeri yang terlibat,” ujarnya.

Selain itu, bagi veteran ATM yang mengalami kerosakan rumah akibat banjir yang tidak menerima sumbangan ini, mereka masih boleh memohon Skim Bantuan Bencana Alam mengikut syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan melalui JHEV ATM negeri masing-masing.

“Peruntukan untuk program ini melibatkan penggunaan dana Tabung Zakat Yayasan Veteran ATM dan dana Kempen Tabung Pahlawan,

“Sumbangan banjir berjumlah RM500 akan diberikan kepada veteran ATM yang terlibat dalam bencana banjir yang memenuhi syarat yang ditetapkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, terdapat dua kategori sumbangan iaitu secara tunai membabitkan 6 wakil veteran ATM setiap negeri, manakala penerima lain akan menerima sumbangan menerusi akaun bank masing-masing.

“Implikasi kewangan bagi program ini adalah berjumlah RM266 ribu melibatkan pemberian RM500 kepada 303 veteran ATM,

“Kementerian Pertahanan akan terus mempertingkatkan lagi Program Cakna Veteran ATM melalui siri lawatan kebajikan yang akan datang agar tiada veteran ATM yang terpinggir daripada menerima insentif yang disediakan,” jelasnya.

Kementerian Pertahanan turut menjelaskan pihaknya sentiasa peka dan prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan veteran ATM sejajar dengan jasa bakti dan pengorbanan yang mereka curahkan selama ini dalam menentukan keamanan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply