Home Politik Kalau nak pecat saya dari UMNO silakan – Annuar

Kalau nak pecat saya dari UMNO silakan – Annuar

by Hazli Fikri

KUALA LUMPUR, 4 Jan – Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa bersedia untuk dipecat daripada UMNO, jika cadangannya untuk mempertahankan muafakat parti Melayu dan Islam tidak disenangi pemimpin serta ahli akar umbi partinya.

Annuar dalam hantaran di media sosialnya turut menegaskan, beliau tetap akan mempertahankan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk menolak perpecahan ummah.

“Saya tetap pertahan keputusan MKT, No DAP No Anwar. Saya tetap mahukan UMNO memimpin muafakat parti Melayu dan Islam serta menolak perpecahan ummah,

“Kalau nak pecat kerana itu, silakan..nak pertahan mereka yang nak bawa parti sokong DAP dan Anwar, silakan,” katanya.

Terdahulu, Pergerakan Pemuda UMNO, Bahagian Pasir Puteh membuat usul supaya Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Annuar Musa dipecat dari parti berkenaan.

Usul tersebut telah dicadangkan oleh Ketua Pemudanya, Muhammad Saifullah Ali ketika mesyuarat perwakilan pergerakan itu pada Sabtu lepas.

Muhammad Saifullah berkata parti perlu mengambil tindakan tegas dengan memecat keahlian Annuar selepas beliau dilihat menjadi tali barut dan jurucakap kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Dalam pada itu, Annuar yang juga Menteri Persekutuan berkata beliau telah mula aktif dalam UMNO adalah 40 tahun lalu.

“Setiap tahun hadiri mesyuarat perwakilan bahagian. Lazimnya UMNO kuat berbincang soal Melayu dan Islam, usul hal rakyat, tapi tahun ini itu semua tidak kedengaran,

“Yang kita dengar ialah seruan penolakan dan perpecahan sesama Melayu dan serang menyerang sesama sendiri. DAP dah boleh senyum,” katanya dalam hantaran itu.

Selain itu, Annuar berkata di Kelantan kini satu demi satu bahagian dan Parlimen yang dulunya kubu UMNO bertukar jadi kubu parti lawan.

“Semoga peringkat nasional tidak begitu,” ujarnya.-Airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply