Home Semasa Sultan Johor murka, Mersing penuh dengan sampah sarap

Sultan Johor murka, Mersing penuh dengan sampah sarap

by Air Times News Network

JOHOR BAHRU, 29 Dis – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka dengan sikap segelintir rakyat di daerah Mersing yang mengabaikan soal kebersihan sehingga tempat awam dipenuhi sampah sarap.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosial rasmi baginda hari ini, Sultan Johor bertitah Mersing merupakan sebuah daerah pelancongan bukan sahaja menjadi tumpuan pelancong dari luar negara, malah ia kaya dengan keindahan alam semulajadi.

Baginda menegaskan sekiranya tabiat tersebut berterusan, ia akan memberi kesan negatif kepada aspek kesihatan awam.

“Saya amat sedih dengan apa yang saya lihat di beberapa kawasan yang ditinjau. Apa nak jadi dengan Mersing? Sepatutnya tempat pelancongan tetapi apabila pelancong sampai, disambut sampah,

“Tidak malukah kita jika menjemput orang ke rumah sendiri tetapi keadaannya tidak sedap mata memandang? Ubahlah perangai dan buang sikap pengotor,” titah baginda.

Sultan Johor bertitah, Mersing perlu mencontohi daerah Muar apabila Bandar Maharani dinobatkan sebagai Bandar Pelancongan Terbersih ASEAN pada 2018.

“Mersing mempunyai potensi yang besar untuk terus dimajukan dalam sektor eko-pelancongan, dan ia juga pintu utama untuk ke pulau pelancongan sekitar,

“Saya ada pelbagai idea untuk menarik pelaburan dan kemajuan untuk sektor di Mersing, tetapi rakyat juga perlu mainkan peranan menjaga kebersihan di sini. Tidak ada orang yang nak berkunjung ke tempat yang kotor,” titah baginda.

Baginda turut bertitah, mahu pihak berkuasa tempatan menguatkuasakan kompaun secara efektif supaya rakyat lebih berdisiplin. – airtimes.my

Gambar galeri:

 

Related Articles

Leave a Reply