Home Pertahanan dan Keselamatan Op Benteng: Kanak-kanak antara 5 PATI Indonesia diusir keluar dari Malaysia

Op Benteng: Kanak-kanak antara 5 PATI Indonesia diusir keluar dari Malaysia

by Nurulhuda

SABAH, 29 Dis – Seramai 4 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia ditahan dan diusir kembali ke negara asal mereka selepas didapati cuba memasuki negeri ini melalui lorong tikus, semalam.

Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dalam kenyataan berkata, penahanan dan pengusiran itu dibuat dalam Operasi Benteng (Op Benteng) kawasan tanggungjawab Briged Kelima Infantri Malaysia (5 Bgd) di kawasan ladang kelapa sawit sempadan antara Tawau dan Indonesia.

“Kumpulan Serkap berjaya mengesan 4 orang PATI masing-masing 2 lelaki dan 2 wanita bersama seorang kanak-kanak perempuan datang dari arah Indonesia sedang menghampiri kawasan ladang kelapa sawit di sempadan Malaysia,

“Hasil pemeriksaan, keempat-empat PATI yang ditangkap tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. Kesemua mereka berusia antara 28 hingga 32 tahun serta kanak-kanak berusia 5 tahun masuk secara haram,” katanya.

Menurutnya, keempat-empat PATI yang ditangkap masuk ke Malaysia bertujuan untuk mencari peluang pekerjaan di dalam sektor perladangan. Kesemua PATI dipercayai dibantu oleh salah seorang dari mereka yang pernah memasuki negeri tersebut.

Kesemua mereka telah diusir keluar dari Malaysia dengan diiringi oleh anggota kumpulan Serkap ke sempadan Indonesia. Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kalabakam untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Panglima 5 Bgd, Brigedier Jenaral Zambery Jefry Darus menegaskan kepada penduduk tempatan yang bekerja di ladang supaya tidak menjadi tali barut atau broker membawa masuk PATI ke negara ini.

“Sempadan daratan negeri Sabah yang bersempadan dengan Indonesia sentiasa dikawal ketat oleh pihak tentera serta diperkemaskan lagi melalui kolaborasi Op Benteng yang diterajui oleh National Task Force (NTF),

“Selain daripada menangkap dan mencegah aktiviti rentas sempadan, 5 Bgd juga akan memastikan pendatang asing tanpa izin akan ditahan malahan akan diusir keluar bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 tanpa kompromi,” tambahnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply