SUNGAI BESAR, 8 Nov – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah berjaya menemui mayat seorang nelayan warga asing yang dilaporkan hilang semenjak 6 November lalu di kawasan Pantai Redang, Sekinchan.
Mayat mangsa warganegara Myanmar yang dikenali sebagai Tin, berumur 50 tahun telah ditemui di 9.7 batu nautika barat laut Pantai Redang oleh KD GAGAH SAMUDERA pada jam 3 petang.
Menurut Pegawai Memerintah KD Gagah Samudera, Kapten Chandramohan a/l Balakrishnan TLDM berkata, mayat tersebut telah dijumpai oleh anggota TLDM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sewaktu melakukan misi mencari dan menyelamat.
Mayat tersebut dihantar ke Jeti Sungai Besar dengan menggunakan bot Penggalang 1, APMM.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat ini membabitkan kapal dari TLDM, APMM, Pasukan Polis Marin dan juga nelayan setempat. – airtimes.my