Home Pertahanan dan Keselamatan COVID-19: ATM, KKM giat bangunkan hospital medan di Tawau

COVID-19: ATM, KKM giat bangunkan hospital medan di Tawau

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang giat mewujudkan Hospital Medan di Tawau, Sabah bagi merawat pesakit selain daripada wabak pandemik COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, kerja-kerja mewujudkan Hospital Medan Tawau, sedang giat dijalankan di Dewan Kompleks Sukan Tawau yang terletak 10 minit dari Hospital Tawau.

“Pesakit-pesakit bukan COVID-19 dari Hospital Tawau akan dirawat di hospital medan ini khususnya untuk perkhidmatan Obstetrics dan Gynaecology, Paediatrics, Orthopaedic dan Pembedahan Am,

“Ini akan memberi lebih banyak ruang kepada Hospital Tawau untuk merawat kes-kes yang memerlukan penjagaan rapi (kategori 3 hingga 5) termasuk yang dirujuk dari daerah berdekatan khususnya Semporna,”jelasnya dalam hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, kes-kes yang tidak mempunyai gejala atau gejala ringan iaitu bagi kategori 1 dan 2 akan terus ditempatkan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).

“Kementerian menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terutamanya ATM membantu menjayakan Hospital Medan ini,

“Sebanyak 75 ribu stok RTK Antigen telah tiba di Sabah yang dihantar melalui misi bantuan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),

“Sebanyak 25 ribu lagi stok RTK Antigen akan dihantar ke Sabah pada minggu hadapan iaitu dijangka bagi kegunaan selama satu bulan,”ujarnya.

Semalam, ATM dalam kenyataan menjelaskan seramai 12 pegawai dan 60 anggota sokongan perubatan di bawah Kor Kesihatan Diraja (KKD) serta kelengkapan bagi hospital berkenaan akan berlepas ke Tawau pada Sabtu ini.

Mereka terdiri daripada 6 Pakar Perubatan, 4 orang Pegawai Perubatan, seorang Pegawai Farmasi, seorang Pegawai Tadbir Hospital dan 62 anggota paramedik serta elemen sokongan yang akan bertugas sekurang-kurangnya dalam jangka masa 3 bulan. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply