Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Beri sokongan padu kepada Kerajaan Baginda pimpinan Muhyiddin – PAS

Beri sokongan padu kepada Kerajaan Baginda pimpinan Muhyiddin – PAS

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyeru parti politik yang diberikan amanah untuk membentuk Kerajaan Baginda (His Majesty’s Government) yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diberikan sokongan padu tanpa diganggu gugat bagi membolehkan kerajaan berfungsi dengan baik dan efektif.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Jemaah Kabinet yang dianggotai Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), PAS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mestilah bertindak secara kolektif dan bertanggngjawab dengan memberikan keutamaan dan fokus kepada kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata ini terutama di era sukar di mana semua pihak berusaha bertungkus lumus bagi menangani penularan semula pandemik COVID-19 serta langkah memulihkan ekonomi negara yang teruk terjejas.

“PAS merafakkan setinggi-tinggi junjung kasih ke hadapan Yang di-Petuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas kebijaksanaan dan langkah berhikmah baginda menyelesaikan sebarang kemelut termasuklah politik, sehingga berjaya membawa kepada ketenangan, keharmonian dan kestabilan dalam negara,

“PAS yakin baginda telah bertindak berdasarkan segala kuasa prerogatif dan budi bicara sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dan undang-undang negara atas konsep Raja Berperlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Selasa lalu, Setiausaha Agung UMNO, berkata UMNO akan membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong PN.

UMNO membuat pertimbangan tersebut bagi memberi syarat baharu kepada kerajaan PN jika mahu meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply