Home Politik PKR akur pilihan rakyat Sabah – Anwar Ibrahim

PKR akur pilihan rakyat Sabah – Anwar Ibrahim

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghormati keputusan Rakyat Sabah yang memilih Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke 16, semalam.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau berharap proses pembentukan kerajaan baharu negeri Sabah dikemudi dengan aman, bijaksana dan penuh hikmah.

“Semalam rakyat Sabah telah keluar beramai-ramai untuk memilih di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, walaupun negara kini berada di dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Saya ingin ucapkan tahniah kepada rakan-rakan Warisan Plus, khususnya Datuk Seri Shafie Apdal dan Parti Warisan Sabah yang telah memenangi 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), DAP yang memenangi enam kerusi dan UPKO yang berjaya memenangi satu kerusi,

Tahniah juga diucapkan buat Datuk Christina Liew, Pengerusi KEADILAN Sabah di atas kejayaan KEADILAN Sabah mempertahan dua kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) serta usaha baik terutama di DUN Sook yang melihat peningkatan hampir dua kali ganda peratus undi buat KEADILAN berbanding 2018,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa yang sama, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut memohon semua pihak termasuk pimpinan parti akur dengan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan penularan wabak COVID-19 terutama dalam isu saringan dan kuarantin.

Katanya, peningkatan mendadak kes terutama jangkitan dalam komuniti amat membimbangkan, dan beliau berdoa agar rakyat Malaysia sentiasa patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) KKM dan dilindungi dari wabak ini.

PRN ke-16 semalam menyaksikan rakyat Sabah memilih Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menerajui pentadbiran negeri itu.

GRS yang terdiri daripada Perikatan Nasional telah memenangi 17 kerusi sementara Barisan Nasional 14 kerusi dan PBS 7 kerusi. Manakala Warisan PLUS berjaya memenangi 32 kerusi dengan Warisan berjaya memperolehi 29 kerusi dan UPKO 1 kerusi. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply