Home Politik Azmin dan penyokong sertai Bersatu, sokong kepimpinan Muhyiddin

Azmin dan penyokong sertai Bersatu, sokong kepimpinan Muhyiddin

by Bernama

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, semalam secara rasmi mengumumkan menyertai parti Bersatu bersama-sama penyokong beliau.

Pengumuman itu dilakukan ketika berucap di hadapan lebih 5,000 peserta Kongres Negara anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Penggerak Komuniti Negara, yang diadakan di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia ( MITEC), di sini.

“Dengan penuh rasa ikhlas dan hati yang tulus, pada  petang yang keramat ini, saya dan ketumbukan dari Perlis hingga ke Sabah, sama ada Penggerak Komuniti Negara, Nation of  Women (NOW), Pemuda Negara, Wanita Muda Negara, dengan ini mengisytiharkan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyokong kepimpinan Yang Amat Berhormat Tan Sri (Muhyiddin Yassin) sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Sebaik pengumuman itu, beliau yang juga merupakan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menerima tepukan gemuruh daripada peserta yang hadir, sebelum Mohamed Azmin menerima kad keahlian daripada Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu.

“Untuk Malaysia bersaing dan berjaya dalam persekitaran ini, kita memerlukan satu anjakan paradigma dalam dimensi politik nasional.

“Kita perlu tawaduk dan mengambil iktibar dari sejarah masa lampau. Kita perlu belajar pengajaran daripada sejarah,” katanya.

Antara yang bersama Azmin menyertai Bersatu adalah sembilan bekas ahli Parlimen PKR iaitu Zuraida Kamaruddin, Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Kamaruddin Jaffar, Datuk Mansor Othman, Datuk Rashid Hasnon, Datuk Seri Dr Santhara Kumar, Ali Biju, Willie Mongin dan Jonathan Yasin.

Azmin dalam ucapannya berkata, mereka bertekad bersama dengan rakan-rakan Perikatan Nasional untuk menjamin sebuah kerajaan yang stabil, mampan dan diyakini akan merealisasikan aspirasi rakyat.

Mohamed Azmin dan Zuraida, bekas Naib Presiden PKR, dipecat daripada jawatan masing-masing pada 24 Feb lalu.

Keputusan itu dilakukan oleh Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR, berikutan tindak-tanduk dua pemimpin itu yang dianggap pengkhianatan oleh pucuk pimpinan parti.

Pada hari sama juga, Azmin dan Zuraida bersama sembilan lagi ahli Parlimen PKR ketika itu, mengumumkan keluar daripada parti itu, dengan seorang lagi adalah Ahli Parlimen Selangau Baru Bian. – Bernama

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply