Home Semasa Tidak sengaja pasang Jalur Gemilang terbalik, alasan tidak munasabah – Timbalan Menteri Pendidikan

Tidak sengaja pasang Jalur Gemilang terbalik, alasan tidak munasabah – Timbalan Menteri Pendidikan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Kementerian Pelajaran akan mengenakan tindakan tatatertib yang tegas terhadap sekolah yang sengaja mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon dalam kenyataan berkata, kesilapan mempamerkan bendera secara terbalik, dan tidak disengajakan bukan lagi alasan yang munasabah.

Malah beliau turut memberi amaran keras kepada pengurusan sekolah supaya lebih bertanggungjawab dan menghormati Jalur Gemilang yang menjadi lambang kebesaran negara.

“Saya dimaklumkan terdapat sebuah sekolah lagi yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik, dan saya sudah mengarahkan pegawai untuk membuat siasatan lanjut,

“Selepas siasatan, didapati kedua-dua insiden ini berlaku secara tidak sengaja, dan saya tidak mahu membincangkan kaum pekerja-pekerja yang terbabit. Mohon menghindarikan isu ini daripada perkauman,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya malam tadi.

Dr Mah berkata, pihak sekolah telah memaklumkan kesilapan kakitangan sekolah berkenaan dan membetulkan kedudukan bendera tersebut serta memohon maaf atas kesilapan mereka.

“Dimaklumkan bahawa ini dilakukan secara tidak sengaja oleh pekerja sekolah,

“Pihak sekolah telah membetulkan bendera tersebut dan memohon maaf atas kesilapan yang tidak diingini,

“Jalur Gemilang adalah lambang Kebesaran Negara dan harus diberikan penghormatan yang tertinggi,

“Saya sekali lagi memberikan amaran yang tegas kepada pihak sekolah, agar memantau ketat tentang kedudukan bendera rasmi di sekolah anda. Kesilapan pekerja secara tidak sengaja bukan lagi alasan yang munasabah,” tambahnya.

Jalur Gemilang dipasang terbalik itu dipercayai berlaku di sekolah rendah di Klang, Selangor dan sekolah SJK di Kluang, Johor yang tular di media sosial sejak semalam.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply