Home Semasa Dakwa semula 12 suspek bunuh Muhammad Adib – Hamzah

Dakwa semula 12 suspek bunuh Muhammad Adib – Hamzah

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Kesemua 12 suspek yang disyaki terbabit dalam kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim akan disiasat semula mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaaan.

Kertas sisatan yang telah dirujuk semula kepada Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lalu turut mencadangkan agar membuka semula inkues untuk siasatan lanjut sekiranya mendapat persetujuan Peguam Negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika sesi penggulungan perbahasan di Dewan Rakyat hari ini berkata, siasatan akan dibuat mengikut peruntukkan Seksyen 339 (2) Kanun Tatacara Jenayah.

“Mahkamah Koroner Shah Alam telah memutuskan punca kematian Muhammad Adib bukan disebabkan kemalangan, tetapi akibat perbuatan jenayah oleh 2 orang atau lebih individu,

“Berdasarkan keputusan tersebut, PDRM telah menjalankan siasatan berpandukan arahan Jabatan Peguam Negara bagi mengumpul bukti-bukti yang ada untuk dikemukan semula kepada pihak pendawaan,” katanya.

Muhamad Adib, 24, anggota bomba dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, mengalami kecederaan parah ketika meleraikan pergaduhan membabitkan 2 kumpulan berhubung isu pemindahan tapak Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Pada 17 Disember 2018, Muhammad Adib disahkan meninggal dunia setelah bertarung nyawa selama 21 hari di Institut Jantung Negara (IJN).

Seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar serta bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid telah dipanggil untuk memberi keterangan dengan mengemukakan sebanyak 137 bahan bukti.

Pada 1 Julai lalu, polis mengesahkan akan melengkapkan siasatan dan menyelesaikan arahan yang dikeluarkan Timbalan Pendakwa Raya membabitkan Allahyarham Muhammad Adib selepas Mahkamah Koroner memutuskan punca kematiannya adalah akibat perbuatan jenayah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dilaporkan berkata, kes itu sedang dalam tindakan dan akan dihantar semula kertas siasatan serta berbincang dengan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.-airtimes.

Related Articles

Leave a Reply