Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Op Benteng: ATM komited jaga kedaulatan negara, kekang kemasukan PATI

Op Benteng: ATM komited jaga kedaulatan negara, kekang kemasukan PATI

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 4 Ogos – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa komited sebagai salah satu agensi utama dalam menjaga kedaulatan negara melalui pengoperasian Op Benteng bagi membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) selain mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dalam kenyataan berkata, aset-aset Tentera Darat (TDM) dan ATM turut diaturgerakan dalam memperkasa operasi di sektor timur negeri Johor.

Beliau berkata kerjasama serta perkongsian maklumat antara agensi keselamatan di peringkat negeri telah berjaya memperkukuhkan Op Benteng di peringkat persekutuan.

“Architecture dan mekanisme kedua-dua operasi ini telah menjadi asas kepada keberkesanan serta keupayaan menyekat kemasukan PATI dan penyeludupan serta mencegah wabak COVID-19 melalui rentas sempadan,

“Kejayaan yang diperolehi setakat ini membuktikan keberkesanan kerjasama kesemua agensi yang terlibat,” tambahnya.

Tengku Muhammad Fauzi yang juga Komander Pusat Operasi Bersepadu Darat-Zon Selatan menegaskan jumlah tangkapan sepanjang Op Benteng di timur Johor menunjukkan keberkesanan kerjasama antara agensi melalui konsep pendekatan Whole of Government (WoG) dan Whole of Society (WoS).

“Sehingga kini pelaksanaan Op Benteng telah berjaya menangkap 11 orang tekong dan 369 PATI melibatkan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM 329,029.50,” katanya ketika membuat lawatan ke kawasan operasi di Pantai Rakit, Kampung Punggai, Johor, hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa masyarakat setempat khususnya di sekitar kawasan pantai timur Johor untuk bersama-sama berganding bahu menjadi mata dan telingga kepada pihak berkuasa dalam usaha membanteras kemasukan PATI ke negara ini.

“Banyak maklumat telah perolehi daripada penduduk tempatan mengenai aktiviti penyeludupan PATI dan kesemua maklumat ini telah menyumbang kepada kejayaan dalam Op Benteng,

“Peranan masyarakat tersebut amatlah disanjung tinggi dan menepati Konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH). Diharapkan hubungan antara penduduk setempat dengan pasukan keselamatan kekal erat dalam sama-sama menjaga kedaulatan dan kepentingan negara,” tambahnya.

Sektor Op Benteng di timur Negeri Johor merupakan sebahagian dari National Task Force (NTF) yang melibatkan kerjasama ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply