Home PolitikPakatan Harapan Mukhriz ‘pulangkan’ jawatan MB Kedah buat kali kedua

Mukhriz ‘pulangkan’ jawatan MB Kedah buat kali kedua

by Air Times News Network

ALOR SETAR, 17 Mei – Datuk Seri Mukhriz Mahathir melepaskan jawatan Menteri Besar Kedah buat kali kedua berkuat kuasa serta merta, hari ini.

Beliau mengumumkan peletakan jawatan selepas hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Saya redha dengan keadaan ini, dan dengan relahati bersedia melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar,

“Apa juga perkembangan politik yang mungkin atau tidak berlaku di peringkat Persekutuan, saya dan rakan-rakan PH serta Dato’ Wira Ir Amiruddin Hamzah bertekad untuk bergerak sebagai pembangkang sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dibubar selewat-lewatnya pada bulan Mei 2023,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman hari ini.

Mukhriz telah mengangkat sumpah Menteri Besar Kedah buat kali ke-2 selepas Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 2018.

Dalam pada itu, Mukhriz menegaskan PH tidak akan melayan mana-mana pihak dari kalangan ADUN yang telah mengkhianati kepercayaan rakyat Kedah, yang tiba-tiba hendak balik ke pangkuan kami.

“Kekallah mereka di sana bersama rakan-rakan subahat mereka (Perikatan Nasional), tiada maaf bagimu! dan kekallah kami bersama rakan-rakan seperjuangan PH yang telah menewaskan BN dulu,

“Umum mengetahui bahawa saya mendokong pendirian berprinsip tegas yang dipegang oleh Ayahanda Tun Mahathir iaitu untuk menolak sebarang kerjasama dengan UMNO, khususnya kerana golongan kleptokrat masih menguasai parti itu,” ujarnya.

Tambahnya lagi, oleh kerana PAS bekerjasama dengan UMNO melalui piagam Muafakat Nasional, maka beliau memutuskan untuk tidak menerima pelawaan mereka untuk bersama dalam Perikatan Nasional (PN) Kedah.

“Lebih baik saya menjadi pembangkang dari menyertai satu gagasan politik yang dicemari dengan banyak skandal bertaraf antarabangsa. Saya juga tidak tergamak untuk mengkhianati mandat yang telah rakyat Kedah berikan kepada PH pada PRU14. Dari hidup melutut, biar mati berdiri!,” tegasnya.

Selain itu, Mukhriz juga setelah peletakan jawatanya, semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) turut tergugur.

Oleh demikian, beliau turut mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Pada PRU-14 lalu menyaksikan PAS menguasai 15 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (7), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (6), Parti Amanah Negara (4), DAP (2) dan Barisan Nasional (2).

Sebelum itu, Perikatan Nasional Kedah telah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 ADUN termasuk dari BERSATU dan Bebas (2 ADUN PKR). – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply