KUANTAN, 22 Apr – Seorang pegawai dan anggota tentera yang dalam perjalanan pulang ke Kem Tentera Darat Mempaga di Bentong, maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas dan melanggar lori di Kampung Lebu, kira-kira 20 kilometer dari kem itu hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata Mejar Mohd Shaiful Azhar Saad, 38, dari Baling, Kedah meninggal dunia di lokasi kejadian dalam insiden pada 3.30 petang itu.
“Sementara pemandu kereta Proton Saga milik Angkatan Tentera Malaysia, Koperal Azizul Azmy, 33, dari Ulu Kinta, Perak yang parah di kepala disahkan meninggal dunia pada pukul 5.50 petang semasa menerima rawatan di Hospital Bentong,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya kedua-dua mereka difahamkan dalam perjalanan pulang ke kem tentera itu selepas pegawai terlibat selesai menghadiri mesyuarat di ibu negara.
Kamarulzaman berkata nahas jalan raya itu berlaku dalam keadaan hujan lebat dan menurutnya pemandu lori muatan barangan runcit itu yang berusia 39 tahun dari Terengganu terselamat dalam kejadian itu.
Jenazah pegawai itu dibawa ke Hospital Bentong, katanya. – Bernama