KUALA LUMPUR, 11 APRIL – Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap sebarang bentuk salah laku dalam pasukan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya memandang serius kejadian yang mengorbankan Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi itu dan menyifatkan insiden berkenaan sebagai tidak mencerminkan nilai serta profesionalisme Angkatan Tentera Malaysia.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berharap mereka diberikan kekuatan dalam menghadapi saat sukar ini.
Menurut beliau, kes berkenaan kini dalam proses perundangan dan akan ditentukan sepenuhnya oleh mahkamah mengikut lunas undang-undang.
“Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat. Sebarang bentuk keganasan, salah laku atau pelanggaran disiplin adalah bertentangan dengan prinsip yang dijunjung oleh pasukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, Kementerian Pertahanan akan memastikan keadilan ditegakkan sepenuhnya selain mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia memperkukuh aspek disiplin dan integriti dalam kalangan anggotanya.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa seorang anggota tentera darat meninggal dunia selepas 2 minggu bertarung nyawa akibat dipercayai dipukul dalam satu kejadian di sebuah kem tentera di Bentong, Pahang.
Bapanya mengesahkan bahawa anaknya, Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, menghembuskan nafas terakhir di hospital Temerloh selepas menerima rawatan akibat kecederaan parah. -airtimes.my
