Home Pertahanan dan Keselamatan COVID-19: ATM sentiasa siap sedia dan kekal komited perketat kawal sempadan negara

COVID-19: ATM sentiasa siap sedia dan kekal komited perketat kawal sempadan negara

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 10 Apr – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap sedia dan kekal komited dalam memperketatkan kawalan di sepanjang persempadanan negara.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menegaskan ATM sentiasa mengambil pelbagai perkiraan keadaan dalam merangka pelan strategik pertahanan negara terutamanya dalam menghadapi penularan wabak COVID-19.

“Pelbagai kemungkinan telah diperhalusi terutamanya jangkaan tindakan warga asing yang akan memasuki Malaysia secara tidak sah dengan menggunakan laluan tikus. Ini sekaligus boleh memberi impak kepada peningkatan penularan wabak COVID-19,

“Semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), operasi dalam negara tetap diteruskan seperti biasa,” kata Panglima Angkatan Tentera dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Affendi, ATM mempunyai kolaborasi padu bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutamanya Pasukan Gerakan Am (PGA) serta agensi-agensi keselamatan lain untuk membuat kawalan di sempadan darat mahupun perairan negara.

Menerusi pengarahan terbaru dalam Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Affendi berkata ATM akan memperkukuhkan lagi perintah dan kawalan di setiap pemerintahan Darat, Laut serta Udara agar kesiapsiagaan berada pada tahap tinggi.

“Setiap pemerintah di setiap peringkat pemerintahan dikehendaki menentukan arahan-arahan semasa terutama aturgerak operasi,

“Adalah ditegaskan, bahawa dengan pengukuhan kawalan operasi di persempadanan negara, ia tidak menjejaskan penugasan anggota sedia ada dalam Operasi Penawar untuk menguatkuasa PKP dan PKPD,” jelasnya.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan tempoh tamat PKP yang sepatutnya berakhir 14 April ini telah dilanjutkan kepada 28 April. PKP yang telah dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu turut menyaksikan penglibatan ATM bagi membantu PDRM menerusi Op Penawar mulai 22 Mac.

PKP dilaksanakan bagi membendung penularan wabak COVID-19. Selain itu, PKPD turut diisytiharkan di beberapa lokasi yang melibatkan  aktiviti pengesanan aktif bagi mengesan pesakit COVID-19.

Sehingga berita ini ditulis, sebanyak 4 kawasan telah dikenakan PKPD oleh kerajaan.

 

Related Articles

Leave a Reply