Home Pertahanan dan Keselamatan Jaga kesihatan dan lindungi diri semasa bertugas – Panglima Tentera Darat

Jaga kesihatan dan lindungi diri semasa bertugas – Panglima Tentera Darat

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi hari ini menegaskan semua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) untuk menjaga kesihatan dan melindungi diri mereka dari dijangkiti wabak COVID-19 semasa melaksanakan Op Penawar.

“Pihak TDM telah mengeluarkan tagline (cogan kata) – Stay Healthy, Protect Yourself (Jaga Kesihatan, Lindungi Diri),

“Kita mesti sihat dalam menjalankan tugas kita dan ikut prosedur yang telah diberi,” kata Panglima Tentera Darat kepada pemberita selepas melawat Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Ampang.

Hasbullah turut berpesan kepada anggota yang bertugas bahawa peraturan ditetapkan kepada yang bertugas merupakan langkah pencegahan bagi menggelakkan mereka dari dijangkiti.

Beliau menegaskan, kesan seseorang anggota dijangkiti wabak COVID-19 boleh menyebabkan sesuatu fasiliti tentera dikuarantin.

“Kita khuatir bahawa kalau salah seorang daripada anggota kita yang positif (COVID-19), satu kem kena dikuarantin,

“Elok kita buat langkah pencegahan sebelum kita menyesal,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau merakamkan penghargaaan kepada anggota TDM yang bertugas demi negara dan rakyat.

“Terima kasih saya ucapkan bagi pihak semua rakyat. Terima kasih kerana perkhidmatan anda,” ucap Hasbullah.

Panglima Tentera Darat bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz melawat Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Ampang yang turut disertai oleh anggota TDM dari Markas 12 Briged, hari ini.

Penglibatan dalam operasi SJR oleh anggota TDM merupakan sebahagian daripada usaha Angkatan Tentera Malaysia membantu Polis Diraja Malaysia dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Op Penawar.

Op Penawar melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.

Penglibatan ATM dalam penguatkuasaan PKP telah dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Khas Menteri-menteri pada 20 Mac lalu.

Related Articles

Leave a Reply