Home Semasa Sekatan pergerakan bantu KKM mantapkan kawalan tangani COVID-19

Sekatan pergerakan bantu KKM mantapkan kawalan tangani COVID-19

by Bernama

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan diharap dapat membantu Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memantapkan kawalan bagi menangani penularan COVID-19 yang melanda negara ketika ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata melalui perintah di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967, pihak KKM dapat melaksanakan sekatan pergerakan untuk mengelak rangkaian penularan penyakit itu seperti di perhimpunan awam.

“Nasihat untuk mengambil langkah-langkah pencegahan dan menjaga kebersihan telah lama disaran oleh KKM tetapi orang ramai masih tidak melaksanakan amalan tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan bahawa Malaysia akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai 18 hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19.

Setakat 12 tengah hari semalam, sebanyak 125 kes positif baharu dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif di Malaysia meningkat kepada 553 kes. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply